Wednesday, October 29, 2014

Cara Berdepan dengan Ujian

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga hari ini lebih baik dari hari semalam hendaknya. Dalam kehidupan seharian kita tak kan terlepas dari menghadapi ujian dan dugaan dalam kehidupan. Sehinggakan bagi mereka yang tak sabar boleh bertindak apa sahaja. Jadi kita perlu pandai menanganinya dengan bijak dan rasional. Jangan gunakan emosi yang akan memudaratkan diri sendiri. Mungkin ada yang kata bercakap memang mudah. Yang hadapinya tu hanya Allah yang tahu. Betul la kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jadi kita perlu redha dengan ujian dan dugaan yang diberikan. Zaza kongsikan bagaimana untuk berdepan dengan ujian dan dugaan hidup.


IMAN DAN REDHA TERHADAP KETENTUAN (QADHA') ALLAH

Kita wajib beriman bahawa segala musibah yang berlaku seperti gempa bumi, banjir, wabak penyakit adalah ketetapan daripada Allah SWT di Lauhul Mahfuz. Kita juga wajib menerima ketentuan Allah ini dengan berlapang dada (redha).

Oleh sebab itu, adalah tidak benar jika ada orang berkata, "gempa bumi itu terjadi kerana ada roh yang sedang marah". Sebaliknya, bencana itu berlaku kerana ia adalah ketentuan daripada Allah SWT dan bukannya ketentuan daripada sesiapa yang lain.

Kita wajib menerima takdir Allah ini dengan penuh redha, bukan dengan perasaan geram atau marah kepada Allah SWT misalnya dengan berkata, "Ya Allah, mengapa harus aku? Apakah dosaku ya Allah?". Sikap yang sedemikian adalah sangat biadap.

SABAR MENGHADAPI MUSIBAH

Menurut Imam As-Suyuthi dalam tafsir al-Jalalain, sabar adalah menahan diri daripada segala apa yang dibenci (al-habsu li an-nafsi ‘alaa maa takrahu). Sikap inilah yang wajib dimiliki ketika kita menghadapi musibah. Selain itu, kita disunnahkan untuk mengucapkan Kalimat Istirja' Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun ketika berlaku musibah.

Oleh yang demikian, bersabarlah. Jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan. Ingatlah bahawa putus asa itu adalah su`uzh-zhan billah (berburuk sangka kepada Allah)! Su`uzh-zhan kepada manusia pun tidak dibolehkan, apatah lagi kepada Allah SWT. Na'uzubillahi min zalik.

Secara realitinya, orang yang ditimpa musibah akan mudah sekali terjerumus untuk bersikap putus asa (surah ar-Rum ayat 36)

MENGETAHUI HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH

Seseorang Muslim yang mengetahui hikmah (rahsia) di sebalik musibah akan memiliki kekuatan mental yang baik. Berbeza dengan orang yang hanya memahami musibah secara cetek iaitu dengan hanya melihatnya secara zahir sahaja. Mentalnya sangat lemah dan mudah mengeluh atas segala musibah yang menimpa. Antara hikmah musibah adalah untuk diampunkan dosa-dosanya. Hikmah lain adalah jika anak-anak Muslim meninggal, kelak mereka akan masuk ke syurga.

TETAP TERUS BERIKHTIAR

Maksud ikhtiar ialah tetap melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki keadaan dan menghindarkan diri daripada sebarang bahaya yang muncul. Kita tidak disuruh untuk berdiam diri atau pasrah berpangku tangan bertongkat dagu dengan menunggu bantuan datang ketika musibah menimpa kita.

Beriman kepada ketentuan Allah bukan bererti kita hanya duduk diam termenung dan meratapi nasib tanpa berusaha untuk mengubah apa yang ada pada diri kita.
Ketika berlakunya wabak penyakit di Syam, Umar bin Al-Khattab segera keluar dari negeri tersebut. Ketika ditanya kepadanya, "Adakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?". Lalu Umar menjawab, "Ya, aku lari daripada takdir Allah ini untuk menuju kepada takdir Allah yang lain."

Rasulullah SAW juga memberi petunjuk bahawa segala bahaya (kemudaratan) wajib untuk dihapuskan (dihindarkan). Misalnya ketiadaan logistik, tempat tinggal, masjid, sekolah dan sebagainya.

MEMPERBANYAKKAN BERDOA DAN BERZIKIR

Kita sentiasa dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir bagi orang yang ditimpa musibah. Orang yang mahu berdoa dan berzikir adalah lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang enggan atau malas. Zikir juga dapat mententeramkan hati orang yang sedang gelisah atau yang mengalami tekanan. Antara zikir yang dianjurkan adalah dengan beristighfar "Astaghfirullahal ‘azhim". 

BERTAUBAT

Tiada seorang hamba yang ditimpa musibah melainkan ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Maka sudah semestinya dia perlu bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Orang yang tidak mahu bertaubat setelah ditimpa musibah adalah orang sombong dan sesat.

3 Rukun dalam melakukan Taubat Nasuha

  • Menyesali atas dosa-dosa yang telah dilakukan. 
  • Berhenti daripada melakukan perbuatan dosa-dosanya itu. 
  • Berazam (tekad yang kuat) untuk tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut di masa akan datang. 

Jika dosa-dosanya berkaitan hubungan sesama manusia seperti belum membayar hutang, pernah memfitnah atau mengumpat seseorang, pernah menyakiti perasaan orang lain dan sebagainya, maka rukun taubat ditambah satu lagi iaitu menyelesaikan masalah urusan sesama manusia dan memohon maaf.

TETAP ISTIQAMAH DENGAN ISLAM

Dalam setiap musibah yang berlaku, akan wujud pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan niat yang jahat. Contohnya perbuatan kotor berbentuk keagamaan seperti kristianisasi. Cara-cara yang dilakukan adalah dengan memberikan bantuan logistik, perubatan, wang, rumah dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa semua itu tidak diberikan dengan tulus melainkan terdapat niat yang keji disebaliknya. Niat orang-orang kafir itu adalah bertujuan untuk memurtadkan orang-orang Islam supaya menjadi penganut agama Kristian sebagai balasan atas bantuan dan jasa yang telah diberikan. Na`uzu billahi min dzalik.

Di sinilah seseorang Muslim itu dituntut untuk terus bersikap istiqamah, iaitu konsisten di atas satu jalan dengan mengamalkan kewajiban-kewajiban dan meninggalkan larangan-larangan (mulazamah al-thariq bi fi'li al-wajibat wa tarki al-manhiyyat).

Oleh kerana itu, adalah wajib bagi kita untuk terus beristiqamah dalam mempertahankan keislaman kita. Jangan mudah tertipu oleh pujuk rayu syaitan bertopengkan manusia. Jangan sesekali mati kecuali tetap memegang teguh dengan agama Islam.

PEDOMAN MENGHADAPI MUSIBAH DAN DUGAAN HIDUP

Dugaan, Ujian dan Musibah. Inilah antara keluhan yang sering diungkapkan oleh manusia apabila diduga dengan ujian, mengapa umat islam sentiasa bersangka buruk kepada Allah s.w.t apabila di timpa satu kesusahan atau musibah. Adakah sesuatu musibah merupakan penyeksaan atau kemurkaan dari Allah? persoalan sebegini pasti bermain dalam fikiran kita termasuk diri saya sendiri.

Saat di timpa musibah, hati sentiasa rasa resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang tanpa panduan, kekadang membuat sesuatu pekerjaan tidak menjadi, fikiran sasau tidak tentu arah seperti berada di lautan dalam tanpa pertolongan. Apabila dirasakan terlalu berat, tidak mampu dipikul sehinggakan ke satu tahap, kita merasakan hidup kita sudah tidak ada harapan lagi. Lalu kita terduduk, mengeluh kepada Allah, memohon agar dihilangkan dugaan, barulah kita ingat di mana Allah pada masa itu.

Semoga dengan perkonsian ini dapat membantu kita menghadapi ujian dan dugaan dariNYA. Sesungguhnya DIA tidak membebankan hambaNYA di luar kemampuan hambaNYA. Setiap ujian dan dugaan Allah tahu hambaNYA mampu hadapinya.

No comments:

Post a Comment

** These statements have not been evaluated by the Food and Drug Administration. These products are not intended to diagnose, treat, cure, or prevent any disease. --------------------------------------------------- Hubungi saya dengan sms ke 019-2501105 atau email annahbhouse@gmail.com untuk maklumat lanjut.